SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan menumpaskan 69 kes penyelewengan membabitkan 866,982 liter minyak diesel bersubsidi di seluruh negeri sejak awal tahun ini.

Pengarahnya Muhammad Zahir Mazlan berkata serbuan menerusi Op Tiris itu melibatkan nilai rampasan berjumlah lebih RM2.5 juta dengan 71 tangkapan berbanding hanya 27 kes (281,751 liter) direkodkan pada tahun lepas.

Beliau berkata daripada 69 kes itu, 46 daripadanya adalah di bawah KPDN manakala bakinya daripada serahan agensi penguat kuasa lain serta 21 kes dikompaun membabitkan hampir RM300,000.

"Majoriti kes adalah di Seremban, Port Dickson dan Kuala Pilah. Modus operandi digunakan adalah dengan membeli diesel di stesen minyak di luar dan mengumpulkannya di stor haram sebelum dipindahkan ke lori tangki untuk dijual.

Stor haram itu pula dibuat di tempat terbuka yang kita tak sangka, boleh ada di mana-mana termasuk kawasan industri, tepi hutan...lokasinya dinamik bukan hanya kawasan terpencil," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke lokasi serahan kes di sini hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan ada dalam kalangan mereka yang terlibat bersubahat dengan pengusaha stesen minyak selain terdapat individu sama yang melakukan kegiatan itu.

Dalam pada itu, Muhammad Zahir berkata dalam serbuan terbaharu semalam dan hari ini di Seremban dan Port Dickson, pihaknya merampas 12,600 liter diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM27,090.

Beliau berkata susulan itu, lima lelaki berusia dalam lingkungan 17 hingga 40 tahun ditahan kerana disyaki melanggar Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Menurutnya, dua kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"KPDN memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berurusan dengan barang kawalan berjadual agar mematuhi perundangan yang berkuat kuasa," katanya dan menambah Negeri Sembilan menjadi negeri ketiga tertinggi selepas Selangor dan Sarawak dari segi nilai rampasan.

-- BERNAMA